Sejarah dan kegunaan Jam_12_jam

Jam astronomi di Gereja Besar Exeter dengan skema penomboran "12 berganda".

Pembahagian sehari kepada siang dan malam membentuk asas untuk sebab sehari dibahagikan kepada dua kitaran. Asalnya ini terdiri daripada satu kitaran yang boleh dikesan oleh kedudukan Matahari (siang) yang disusuli oleh satu lagi kitaran yang boleh dikesan oleh Bulan dan bintang-bintang (malam). Lama-kelamaan ini berubah kepada dua kala 12 jam yang masing-masing bermula pada waktu tengah malam (a.m.) dan tengah hari (p.m.) seperti yang digunakan hari ini.

Sejarah jam 12 jam boleh disusur-galurkan seawal zaman tamadun Mesopotamia dan Mesir Purba:[4] Sebuah jam matahari untuk kegunaan waktu siang[5] serta sebuah jam air untuk waktu malam dijumpai di dalam makam Firaun Amenhotep I.[6] Dengan tarikh sekitar 1500 M, setiap jam tersebut memecahkan waktu masing-masing kepada 12 jam.

Masyarakat Rom juga pernah menggunakan jam 12 jam: waktu siang terbahagi kepada 12 jam yang sekata (tetapi berubah-ubah tempohnya sepanjang tahun) sementara waktu malam terbahagi kepada empat jam. Masyarakat Rom menomborkan jam-jam siang secara songsang pada mulanya. Misalnya, "3 a.m." atau "3 jam ante meridiem" bermaksud "tiga jam sebelum tengahari", dan bukannya "tiga jam dalam kala 12 jam terawal dalam sehari" seperti masa kini.

Jam mekanik pertama (yang bermuka) dari abad ke-14, memaparkan semua 24 jam dengan muka analog 24 jam atas pengaruh pengetahuan ahli astronomi dengan astrolab dan jam matahari, serta hasrat mereka untuk memodelkan "pergerakan" Matahari. Di Eropah Utara, muka jam ini umumnya memaparkan kesemua 24 jam yang terbahagi kepada dua kala 12 jam iaitu a.m. dan p.m.. Ini dikenali sebagai sistem "12 berganda" dan masih banyak terdapat pada jam-jam lama yang masih ada di rantau tersebut. Di negara-negara Eropah yang lain pula, terutama sekali di Itali, penomboran jam lebih barangkali berasaskan sistem 24 jam (I ke XXIV) untuk mencerminkan cara mengira jam di Itali.

Pada abad ke-15 dan ke-16, muka jam analog dan sistem waktu 12 jam dengan struktur yang lebih ringkas dan menjimatkan lama-kelamaan menjadi kelaziman di seluruh Eropah Utara untuk kegunaan umum. Muka jam analog 24 jam pula dipelihara untuk penggunaan yang lebih khusus seperti jam astronomi dan kronometer. Jam 12 jam digunakan di serata jajahan Empayar British.

Kebanyakan jam analog masa kini bermuka 12 jam yang mana jarum pendeknya berpusing penuh sekali dalam 12 jam dan dua kali dalam sehari.